Wednesday, April 3, 2013

Kisah Sembilan Pembunuhan Misteri Dalam Tempoh 20 Tahun


Kisah Sembilan Pembunuhan Misteri Dalam Tempoh 20 Tahun | Kisah pembunuhan bersiri Ryan atau nama penuhnya Very Idham Henyansyah yang membunuh 11 orang mangsa, menyebabkan penulis yang terus tertarik untuk membuat penyelidikan tentang kes-kes pembunuhan bersiri lain di Indonesia.

Memang agak mengejutkan dalam tempoh 20 tahun terdapat sembilan kes pembunuhan bersiri dengan pelbagai alasan untuk melakukan kekejaman itu. Iaitu daripada masalah harta benda hinggalah kecurangan, tetapi semuanya dapat disimpulkan semata-mata untuk memenuhi nafsu untuk membunuh.

Kes-kes berkenaan adalah Sumiarsih dan Sugeng, Harnoko Dewantono, Astini, Siswanto atau lebih dikenali sebagai Robot Gedek, Ahmad Suraji, Rio Alex Bulo atau dikenali dengan Rio Martil, Iptu Gribaldi Handayani, Tubagus Yusuf Maulana

atau Dukun Usep dan Ryan.

Kes Sumiarsih dan anak bongsunya Sugeng terungkap berlaku pada 1988 dan mereka telah membunuh lima orang mangsa. Kegilaan pembunuh bersiri anak beranak itu telah menamatkan riwayat lima sekeluarga.

Kerana masalah hutang mereka telah membunuh Letkol Marinir Poerwanto, isterinya, Sunarsih Poerwanto serta dua anak mereka dan ditambah seorang anak saudara mangsa. Kedua-dua mereka akhirnya dihukum mati dengan ditembak.

Pembunuhan seterusnya dilakukan oleh warga Indonesia di Amerika Syarikat iaitu melibatkan Harnoko Dewantono alias Oki berlaku pada tahun 1994. Dia membunuh tiga orang iaitu adiknya sendiri, Ery Wriharto Darmawan, Suresh Gobi Michandani dan Gina Sutan Aswar.

Mangsa-mangsa juga dipotong-potong dan disimpan di dalam peti kayu demi menyembunyikan daripada pihak berkuasa, tetapi akhir rahsia itu terbongkar juga dan Mahkamah Jakarta Pusat menjatuhkan hukuman mati ke atas Oki.

Kes seterusnya melibatkan pembunuh bersiri Astini yang didapati bersalah membunuh tiga orang jirannya pada tahun 1996 juga kerana masalah hutang.

Oleh kerana tersinggung dan sakit hati akibat dicerca oleh jiran-jiran ketika menuntut hutang Astini telah membunuh mereka.

Berbeza

Mangsa pertama Astini ialah Sukur yang berusia 60 tahun dan yang kedua Sri Astutik Widjaja dan mangsa ketiga ialah Pudji Astutik. Astini yang memotong mayat mangsa-mangsanya serta membuangnya di tempat-tempat berbeza. Dia dihukum mati oleh Mahkamah Surabaya.

Kes yang menarik perhatian penulis ialah Robot Gedek yang membunuh 12 kanak- kanak kerana kes berkenaan turut ditulis oleh wakil Utusan Malaysia di Jakarta pada tahun 1996 iaitu Marzuki Yusof.

Robot Gedek membunuh anak-anak jalanan di Jakarta dan kesemua mangsa diliwat dan dia juga mengaku melapah kulit perut serta tapak tangan semua mangsa.

Mahkamah Jakarta Pusat menjatuhkan hukuman mati ke atas Robot, tetapi hukuman itu tidak sempat dilaksanakan kerana dia meninggal dunia pada tahun 2007 akibat sakit jantung.

Satu lagi kes iaitu Ahmad Suradji yang berlaku pada tahun 1997 yang membunuh 42 orang wanita. Dia yang lebih dikenali dengan panggilan Dukun AS.

Dia tidak mengaku merogol kesemua mangsa kerana dia membunuh semata-mata untuk merompak mangsa-mangsa tersebut, walaupun terdapat dakwaan dia melakukannya bagi memenuhi tuntutan ilmu diamalnya yang memerlukan dia membunuh 70 wanita. Pada 1998 Dukun AS dihukum mati oleh Mahkamah Lubuk Pakam.

Pada 2001 pula seorang lagi pembunuh bersiri dihukum mati iaitu Rio Alex Bulo yang didapati bersalah membunuh empat orang mangsa dan hukuman mati itu dilaksanakan pada Ogos 2008.

Tiada siapa menyangka lelaki pendiam, bertubuh kecil dan mempunyai raut wajah yang polos itu telah membunuh empat orang mangsa termasuk seorang peguam.

Dia menyara hidupnya serta keluarga dengan melakukan pelbagai jenayah kecil-kecilan seperti mencuri kenderaan. Bagaimanapun kegiatan jenayah itu kecil-kecilan itu menjadikannya pembunuh apabila dia membunuh empat pemilik kenderaan yang dirampasnya. Namun akhirnya Rio dihukum mati dengan ditembak.

Seorang lagi pembunuh bersiri ialah Iptu Gribaldi Handayani yang berlaku pada tahun 2005 dan dia merupakan seorang anggota polis telah membunuh tujuh mangsanya dengan menembak dari belakang. Motifnya pelbagai iaitu sakit hati, penipuan, ekonomi hinggalah masalah curang.

Pada tahun 2007 Indonesia turut digemparkan dengan terungkap kisah pembunuhan bersiri yang dilakukan oleh Tubagus Yusuf Maulana atau Dukun Usep yang telah membunuh lapan orang mangsa dan dia dihukum mati pada tahun 2008.

Dukun Usep memerangkap mangsanya menyertai upacara menggandakan wang dan kemudiannya dia membunuh mereka dengan menggunakan racun potasium. Kesemua mangsa ditanam di dalam dua lubang kubur di Desa Cikareo, Cilelas, Lebak.

Dalam kes ini Dukun Usep menjanjikan wang berganda kepada mangsa dengan meminjam wang dari bank ghaib. Demi menjadi kaya dengan sekelip mata, mereka sanggup menggali lubang yang bakal menjadi kubur mereka sendiri dan meminum cecair berwarna hitam yang sebenarnya adalah racun.

Kes kesembilan tentulah kes Ryan yang kini menunggu hukuman mati dilaksanakan, manakala teman lelakinya Noval telah dibebaskan selepas selesai menjalani hukuman penjara.

Daripada kes-kes tersebut dapat dilihat bahawa alasan untuk membunuh oleh pembunuh bersiri itu terlalu remeh kerana semua manusia juga menghadapi masalah sedemikian dan ia adalah sebahagian daripada `asam garam kehidupan'.

Bagaimanapun oleh kerana kecenderungan mereka yang sadis dan emosi yang tidak stabil, pembunuh bersiri mengambil jalan singkat dengan membunuh subjek untuk menyelesaikan masalah dan demi memperolehi kepuasan.

No comments:

Post a Comment