Tahukah Anda Mengapa Ramai Wanita Barat Pilih Islam? | ADIK ipar Tony Blair mengumumkan dirinya memeluk Islam pada hujung minggu lalu. Wartawan, Lauren Booth, 43, juga dianggap salah seorang daripada wanita moden berkerjaya di Britain yang kian ramai memeluk Islam.
Lauren, adik tiri Cherie Blair, berkata dia kini memakai hijab apabila keluar rumah, bersolat lima kali sehari dan mengunjungi masjid di kawasan setempat jika berkesempatan.
Dia mengambil keputusan untuk memeluk Islam enam minggu selepas mengunjungi makam Fatima al-Masumeh di kota Qom, Iran.
“Ketika itu petang Selasa. Saya duduk dan terasa sentuhan kerohanian dan benar-benar dilimpahi kebahagiaan dan kegembiraan,” katanya.
Sebelum ini pun dia mengakui sering punya rasa simpati terhadap Islam dan menghabiskan banyak masa bekerja di Palestin.
“Saya sering kagum dengan kekuatan dan keselesaan yang saya rasai,” katanya.
Menurut Kevin Brice daripada Universiti Swansea, yang mengkaji penukaran agama di kalangan masyarakat Barat untuk menganut Islam, wanita berkenaan adalah sebahagian daripada aliran yang mencuri tumpuan kini.
“Mereka mencari kerohanian, maksud yang lebih tinggi dan cenderung untuk menjadi seseorang yang berfikir secara mendalam.
“Ada pula golongan wanita lain yang memeluk Islam untuk ‘memudahkan’ keadaan. Mereka memeluk agama itu untuk menggembirakan suami dan keluarga suami yang beragama Islam, tetapi mereka tidak semestinya ke masjid, bersolat atau berpuasa,” katanya.
Kisah Kristiane Backer, 43, bekas penyampai MTV berpangkalan di London yang pernah menjalani cara hidup liberal barat pula bermula apabila dia bertemu dan berpasangan dengan bekas pemain kriket, Imran Khan pada 1992 ketika kemuncak kerjayanya.
Imran membawanya ke Pakistan di mana dia serta-merta tersentuh dengan semangat kerohanian dan kemesraan masyarakatnya.
“Meskipun hubungan kami tidak berpanjangan, saya mula mempelajari mengenai kepercayaan Islam dan akhirnya memeluk Islam.
“Disebabkan bidang tugas saya, saya menemubual bintang rock, mengembara ke seluruh dunia dan mengikuti setiap trend, tetapi di dalam diri, saya berasa kosong.
“Kini akhirnya saya berasa puas kerana Islam memberikan saya makna kehidupan. Di Barat, kami berasa tertekan kerana alasan remeh-temeh seperti memilih pakaian.
“Dalam Islam, setiap umatnya melihat matlamat yang lebih tinggi. Segala yang dilakukan adalah untuk menggembirakan Tuhan. Ia adalah suatu sistem nilai yang benar-benar berbeza.
“Saya sedar betapa bebasnya untuk menjadi seorang Islam. Menyembah hanya satu Tuhan membuatkan kehidupan lebih tulen. Anda tidak mengejar setiap kegilaan yang hanya bersifat sementara.
“Saya membesar di Jerman dalam sebuah keluarga Protestan yang tidak begitu alim. Saya minum dan berparti, tetapi saya sedar kami perlu melakukan perkara yang baik sekarang supaya dapat kehidupan yang baik selepas mati,” katanya.
Bagi kebanyakan wanita, hubungan pertama mereka dengan Islam adalah apabila mereka mempunyai teman lelaki Muslim.
Lynne Ali, 31, dari Dagenham di Essex mengakui pernah bergelar remaja yang gila berparti seperti kebanyakan masyarakat kulit putih lainnya.
“Saya keluar dan mabuk bersama rakan, memakai pakaian ketat dan terdedah. Saya bekerja sambilan sebagai deejay jadi memang sering berada di kelab.
“Dulu saya pernah bersembahyang sedikit sebagai penganut Kristian, tetapi saya gunakan tuhan sebagai doktor, untuk memperbetulkan perkara yang berlaku dalam hidup saya. Jika orang bertanya, saya katakan gembira dengan kesibukan hidup saya,” katanya.
Tetapi apabila dia bertemu teman lelakinya, Zahid, di universiti, sesuatu yang drastik berlaku.
“Kakaknya mula berbual dengan saya mengenai Islam dan seolah-olah segalanya dalam hidup saya kena pada tempatnya. Saya fikir di sebalik segalanya, saya pasti mencari sesuatu dan saya tak rasa cukup dengan cara hidup saya yang gemar berparti itu,” katanya.
Lynne memeluk Islam pada usia 19 tahun.
“Sejak hari itu, saya mula memakai hijab dan sekarang saya tidak menayangkan rambut saya di hadapan orang ramai. Di rumah, saya mengenakan pakaian Barat di hadapan suami, tetapi bukannya di luar rumah,” katanya.
Menerusi kajian YouGov terkini, didapati lebih daripada separuh khalayak Britain percaya Islam adalah pengaruh negatif yang menggalakkan ektremisme, penindasan wanita dan ketidakadilan.
Bagaimanapun, statistik menunjukkan memeluk Islam sebagai satu perkembangan ketara.
Islam juga kini adalah agama yang paling pantas berkembang di dunia manakala penganut barunya di kalangan masyarakat kulit putih antara tunjang dalam perkembangan berkenaan.
“Bukti menunjukkan nisbah wanita Barat yang memeluk Islam berbanding lelaki mungkin setinggi kadar dua orang wanita kepada seorang lelaki,” kata Brice.
Lebih-lebih lagi, katanya, wanita berkenaan mengenakan hijab manakala ramai juga wanita yang dilahirkan Muslim tidak berbuat demikian.
“Mungkin disebabkan tindakan ini yang memang menarik perhatian, masyarakat kulit putih Muslim sering melaporkan penindasan yang lebih hebat terhadap mereka berbanding wanita yang dilahirkan Islam,” katanya sambil merujuk kepada apa yang berlaku kepada Kristiane Backer.
Menurut Kristiane, di Jerman, terdapat Islamophobia.
“Saya kehilangan kerja apabila saya memeluk Islam. Ada kempen media terhadap saya dengan sindiran mengenai semua umat Islam menyokong pengganas, saya rasa dahsyat sekali. Kini saya penyampai di NBC Eropah.
“Saya menggelarkan diri saya Muslim Eropah yang berbeza dengan mereka yang dilahirkan sebagai Muslim. Dulu saya bersuamikan lelaki Maghribi, tetapi ia tidak kekal kerana dia mengenakan peraturan pada saya, mungkin kerana cara dia dibesarkan.
“Sebagai Muslim Eropah, saya bertanyakan segalanya, saya tidak menerima membuta tuli.
“Tetapi apa yang saya suka ialah keramahan dan kemesraan masyarakat Islam. London ialah tempat terbaik di Eropah untuk umat Islam. Ada budaya Islam yang mengagumkan di sini dan saya sangat gembira,” katanya.
Sesetengah orang yang memeluk Islam tertarik kepada rasa kepunyaan dan hidup bermasyarakat iaitu nilai yang kian pupus di Barat, kata pensyarah kanan di Universiti Birmingham, Haifaa Jawad, yang mengkaji fenomena memeluk Islam ini.
“Kebanyakan orang daripada pelbagai latar belakang, sedih dengan pupusnya rasa hormat kepada orang tua dan wanita dalam masyarakat hari ini. Ini adalah sebahagian daripada nilai yang terkandung dalam al-Quran yang harus dipatuhi umat Islam,” tambah Brice.
Nilai seperti inilah yang menarik perhatian guru yoga, Camilla Leyland, 32, yang tinggal di Cornwall, kepada Islam. Ibu tunggal yang mempunyai anak perempuan, Inaya, 2, ini memeluk Islam pada usia pertengahan 20-an atas sebab ‘intelek dan feminis.’
“Saya tahu orang akan terperanjat apabila mendengar perkataan feminisme dan Islam dalam satu nada, tetapi hakikatnya, ajaran al-Quran memberikan kesaksamaan kepada wanita dan ketika agama ini dilahirkan, ajarannya menentang masyarakat yang menindas wanita.
“Kesilapan besar yang sering berlaku adalah mengelirukan budaya dengan agama. Ada budaya Muslim yang tidak membenarkan kebebasan individu wanita, tetapi apabila saya membesar, saya berasa lebih ditindas oleh masyarakat Barat,” katanya yang berbicara mengenai tekanan terhadap wanita untuk berperangai seperti lelaki dengan mengambil minuman keras dan melakukan seks kasual.
“Tiada makna sebenar di sebalik semua itu. Dalam Islam, jika anda memulakan satu hubungan, ia adalah satu komitmen terhadap niat,” katanya.
Membesar di Southampton, ayahnya adalah Pengarah Institut Pendidikan Southampton dan ibunya, guru ekonomi yang mengajar di rumah. Minat Camilla terhadap Islam bermula di sekolah.
Wanita yang mempunyai ijazah sarjana dalam pengajian Timur Tengah ini mula tersentuh dengan Islam ketika tinggal dan bekerja di Syria.
Menggambarkan kajiannya dalam al-Quran, dia sedar dia mahu memeluk Islam. Rakan dan keluarga bingung dengan keputusannya itu.
“Ramai yang sukar mahu percaya saya seorang wanita kulit putih berpendidikan tinggi daripada kelas pertengahan yang memilih Islam,” katanya.
Sesetengah wanita berkenaan menyifatkan pakaian berorientasikan Islam adalah sesuatu yang mereka dapati memperkasakan diri mereka, juga merasai kebebasan menerusinya.
“Saya hadiri satu majlis ulang tahun hari lahir ke-21 seorang rakan lama di sebuah bar. Saya masuk, memakai hijab dan berpakaian sederhana dan saya lihat bagaimana orang lain yang menayangkan tubuh mereka. Mereka mabuk, bercakap merepek dan menari begitu menggoda.
“Buat pertama kali, saya melihat kehidupan lampau saya daripada kaca mata orang asing dan saya tahu saya tak akan kembali ke jalan itu.
“Saya sangat bersyukur saya menemui laluan saya. Inilah diri saya yang sebenar. Saya gembira bersolat lima kali sehari dan mengikuti kelas di masjid. Saya bukan lagi hamba kepada masyarakat yang punah,” kata Lynne Ali.
Kristiane Backer yang menulis buku mengenai perjalanan kerohaniannya bertajuk From MTV To Mecca, percaya generasi baru Muslim moden yang bebas ini mampu bersatu untuk menunjukkan kepada dunia mengenai Islam yang bukannya menindas hak wanita.
“Saya tahu ada wanita yang dilahirkan sebagai Islam kecewa dan memberontak. Apabila kita kaji secara mendalam, ia bukanlah kepercayaan yang ditentang sebaliknya budaya.
“Peraturan seperti berkahwin dalam kasta yang sama dan pendidikan tidak penting untuk anak gadis kerana mereka perlu cepat berkahwin, tidak pun disebut dalam al-Quran.
“Ramai generasi muda Islam kini sudah tidak lagi terikut-ikut dengan versi ‘dihumban ke api neraka’ sebaliknya menemui pendekatan yang lebih bersifat kerohanian dan intelektual iaitu bebas daripada dogma budaya generasi lama. Begitulah yang saya harapkan untuk menghabiskan hayat saya, menunjukkan kepada dunia keindahan Islam yang sebenar,” katanya.
No comments:
Post a Comment