Tuesday, March 12, 2013

Cara Mencegah Pesakit Kencing Manis Dari Di Potong Kaki



Cara Mencegah Pesakit Kencing Manis Dari Di Potong Kaki | SALAH satu kesan penyakit kencing manis yang ditakuti ialah kehilangan kaki akibat gangren (pengaliran darah tersekat ke bahagian kaki).

Namun, di Hospital Besar Singapura (SGH), misalnya, ia menerima sekurang-kurangnya dua pesakit setiap hari yang datang untuk mendapatkan rawatan bagi gangren pada jejari kaki mereka.

'Jika mereka datang dengan jari-jari kaki hitam ia adalah satu kecemasan dan kami terpaksa memotong jari-jari mereka,' kata Dr Benjamin Chua, Konsultan di Jabatan Pembedahan Am dan pakar bedah vaskular dan endovaskular utama di hospital itu.

'Tapi, begitulah... kami masih menerima pesakit yang datang lambat. Mereka mungkin tidak tahu yang mereka ada kencing manis atau mereka tidak mengawal penyakit mereka dengan baik.

'Yang penting ialah mereka datang sebaik saja mereka berasa sakit di paha atau betis jika berjalan, sebab ini masih di peringkat awal, belum ada masalah kehilangan tisu (gangren),' jelas Dr Chua dalam satu pertemuan.

Di Singapura data menunjukkan kencing manis yang tidak didiagnosis tertinggi di kalangan orang Melayu (56 peratus), diikuti Cina (50 peratus) dan India (38 peratus).

Bagaimanapun, kata Dr Chua, sekiranya beliau menerima pesakit yang datang lambat beliau tetap akan berusaha mengelakkan pemotongan kaki mereka di paras lutut dengan memotong jari-jari mereka.

'Sekurang-kurangnya mereka masih boleh berjalan dengan hanya jejari mereka dipotong,' katanya.

Pesakit kencing manis mengalami gangren disebabkan kekurangan bekalan darah ke kaki mereka akibat penyempitan saluran darah.

Namun, menurut Dr Chua, kes pemotongan kaki akibat kencing manis telah banyak berkurangan dalam tempoh hampir 20 tahun.

Misalnya di SGH, kajian dalam 2010 menunjukkan ia telah berkurangan ke 15 peratus, berbanding 60 peratus pada 1983. Satu lagi data menunjukkan kadarnya telah merosot daripada 413 pada 2004 kepada 203 pada 2009.

Pendekatan menyeluruh

Penurunan ini bukan saja disebabkan oleh teknologi baru rawatan seperti angioplasti yang menggunakan teknik ballooning (tiub yang boleh mengembang yang dimasukkan ke saluran darah untuk membesarkannya), tetapi pendekatan menyeluruh merawat kencing manis.

Jadi, fokus utama ialah menyelamatkan kaki pesakit, kata Dr Chua.

'Ini penting kerana jika seorang pesakit kehilangan satu kakinya, beliau akan memerlukan tambahan tenaga sebanyak 40 peratus lagi untuk berdiri sahaja dan kalau beliau kehilangan kedua-dua kaki, jangan harap mereka boleh berjalan. Mereka perlukan kerusi roda dan akhirnya terlantar saja di katil dan ini boleh mendedahkan pesakit kepada jangkitan kuman pada air kencing dan radang paru-paru,' tegasnya.

Sungguhpun begitu, teknologi baru untuk merawat penyempitan saluran darah di kaki bagi pesakit kencing manis boleh menjadi pilihan baik untuk menyelamatkan kaki pesakit daripada dipotong.

Pembedahan endovaskular yang menggunakan perkakas halus, cateter, wayar dan stent (tiub berjaring) boleh membesarkan saluran darah yang sempit di bahagian kaki.

Selain sempit, saluran darah pesakit juga boleh menjadi bengkak. Ini disebut aneurysm yang disebabkan oleh kelemahan dinding arteri. Dalam keadaan demikian ia boleh pecah dan mengakibatkan pendarahan, komplikasi lain, malah kematian.

Pembedahan kecil ini lebih baik daripada pembedahan tradisional yang besar sepanjang 30 sentimenter hingga 40 sentimeter.

Pesakit yang menjalani pembedahan endovaskular juga hanya perlu diberikan anestesia di tempat yang dibedah saja dan mengalami rasa sakit dan tidak keselesaan minimum. Ia juga lebih selamat, berisiko rendah, pesakit sembuh lebih cepat dan dikeluarkan dari hospital lebih awal.

Sejak Mac tahun lalu SGH telah menjalankan kira-kira 100 kes pemasangan stent dan angioplasti. Ia juga telah menjalankan pembedahan menggunakan drug-eluting balloon atau DEB (tiub yang diselaputi ubat untuk membantu saluran darah terbuka untuk tempoh lebih lama) ke atas 25 hingga 30 pesakit dalam tempoh setahun lalu.

'Namun, kami tidak menggunakan DEB untuk rawatan langkah pertama bagi pesakit, sebaliknya untuk pesakit yang penyempitan saluran darahnya berulang, misalnya, enam bulan selepas menjalani angioplasti atau selepas meletakkan stent, ia telah kecut kembali,' jelas Dr Chua.

Mengulas lebih lanjut, Dr Manish Taneja, Konsultan di Jabatan Radiologi Diagnostik SGH, berkata: 'Penggunaan stent dan ballooning ini bukan huraian kekal bagi pesakit kencing manis kerana pada dasarnya penyakit kencing manis itu masih ada di dinding saluran darah pesakit. Ia hanya huraian sementara.'

Untuk ballooning biasa, kadar ia bertahan (saluran darah tidak sempit kembali) dilihat pada 70 hingga 80 peratus pesakit dalam tempoh setahun dan lebih 90 peratus dalam tempoh tiga bulan.

Dr Chua pula memberitahu daripada 10 pesakitnya yang telah menjalani prosedur DEB, dua atau tiga orang telah kembali mendapatkan rawatan kerana penyempitan semula arteri mereka dalam tempoh enam bulan.

No comments:

Post a Comment